Sunday, October 23, 2011

misteri kehidupan dan kudrat tuhan


Misteri Kehidupan
Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak! Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.
Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing. Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepadaNya. Firman Allah (maksudnya):
“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka. dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Talaq: 2-3).
Kudrat Tuhan

Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai. Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.
Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagunganNya. Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya. Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.
Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya. Demikian Allah menegaskan (maksudnya):
“..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: 216).
Hanya pada tanganNya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalangNya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya. Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga. Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepadaNya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.
Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. Segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu. Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepadaNya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara. Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.

p/s : dipetik dari penulisan Dr Asri di sini. untuk bacaan orang yang runsing tentang masa depan. :)

No comments:

Post a Comment

sini2.komen kt sini.