Thursday, August 2, 2012

Cerpen : Emanuel Robinson anak Yusuf


Emanuel Robinson anak Yusuf

Emanuel menyisir rambut perangnya di hadapan sebuah cermin buruk. Minyak rambut yang sering Emanuel lumurkan di kepala sudah habis sejak seminggu yang lalu. Namun, Emanuel berkira-kira mahu meminta ayahnya membeli minyak rambut yang baru. Dia tidak sanggup menyusahkan ayahnya membelikannya  benda yang tidak terlalu penting. Baginya, tidak mengapa jika tiada minyak rambut. Hanya menyisir kemas rambut sudah memadai.

“ Emanuel, mari sarapan dahulu sebelum ke sekolah” Puan Jamilah mengajak Emanuel bersarapan. Encik Yusuf juga ada bersama di meja dapur mereka yang kecil.

“ Baik ibu” patuh Emanuel. Emanuel memang anak yang baik. Dia duduk sopan di atas kerusi lantas membaca doa makan. Puan Jamilah dan Encik Yusuf mengaminkan doa Emanuel.

“ Emanuel ke sekolah dulu ya ibu dan ayah” ujar Emanuel setelah usai bersarapan. Dia mencium tangan tua ibu dan bapanya sebelum ke sekolah.

" Belajar rajin-rajin Emanuel" nasihat Encik Yusuf. Emanuel mengangguk. Dia menuntun basikal ke pinggir jalan sebelum menaikinya.

Hingar-bingar kelas ketika Cikgu Samiha keluar kerana waktu mata pelajaran Sains telah tamat. Kelihatan Johan dan Firdaus menghampiri Emanuel yang sedang membuat kira-kira bagi mata pelajaran Matematik.

“ Oi orang putih. Pinjam buku latihan Bahasa Inggeris. Kami mahu pinjam.” Ujar Johan. Dia membuka beg sandang Emanuel dan mencari buku latihan Bahasa Inggeris. Setelah menjumpai buku tersebut, dia membawanya ke tempat duduknya yang terletak di belakang kelas. Firdaus hanya membuntuti Johan.

“ Kamu berdua mahu meniru kah? Minggu lepas kan kita semua sudah didenda kerana jawapan kita terlalu sama? Saya risau Teacher Karmila akan marah pada kita lagi. Pulangkanlah buku saya semula” pinta Emanuel.

“ Ah, kedekut lah kau ini. Sudah lah pelik. Rambut perang, mata hijau, hidung mancung. Tak sama macam kita semua. Nama pun, Emanuel Robinson. Anak penjajah! ” Johan membaling buku latihan itu kepada Emanuel dan ketawa bersama-sama Firdaus. Emanuel hanya diam dan mengutip buku itu. Emanuel duduk semula di meja nya.

Dahlia menghampiri Emanuel. Dia meletakkan sebuah nota di atas meja Emanuel sebelum Dahlia kembali ke mejanya semula.

Sabar itu, sesuatu yang indah jika kita faham maksud sebenar di sebalik perkataan SABAR itu. Masih ingat ayat kamu ini? Harap awak tabah Emanuel. – Dahlia –

Emanuel memandang Dahlia yang juga sedang memandangnya. Emanuel tersenyum kelat. Ustazah Mardiah sudah masuk untuk mengajar subjek Pendidikan Islam. Semua murid memberi perhatian.

Selepas makan malam bersama Puan Jamilah dan Encik Yusuf, Emanuel duduk di sebelah ibunya yang sedang menjahit pakaian yang ditempah orang kampung. Encik Yusuf pula sedang membetulkan pukat di serambi rumah kayu mereka.

“ Ibu. Emanuel ini bukan anak kandung ibu kan? Beritahu Emanuel hal sebenar ibu. Dari dahulu ibu selalu mengelak untuk menjawab pertanyaan Emanuel” Bergenang air mata Emanuel. Dia mahu segala rahsia hidupnya terlerai malam itu juga. Puan Jamilah menghentikan jahitan.

“Sungguh Emanuel mahu tahu?” soal Puan Jamilah. Puan Jamilah dan Encik Yusuf berpandangan. Puan Jamilah memegang tangan Emanuel. Emanuel mengangguk tanda bersedia mendengar apa juga kebenarannya.

“ Emanuel anak ibu dan ayah. Kami yang menjaga Emanuel dari hari pertama Emanuel lahir. Emanuel tidak suka jika kami ini orang tua mu?” soal Puan Jamilah. Emanuel menggeleng kepala.

“ Tidak ibu. Bukan itu maksud Emanuel. Emanuel sangat sayang ibu dan ayah. Emanuel cuma..” Emanuel tidak dapat meneruskan kata-katanya. Lidahnya kelu. Dia keliru dengan apa yang berlaku. Dia tertanya-tanya mengapa kulitnya putih melepak. Rambutnya tidak hitam. Matanya lain daripada orang sekeliling.

“ Emanuel anak kesayangan ibu dan ayah. Biar sahaja apa orang mahu cakap tentang Emanuel, Emanuel ialah anak kami. Emanuel Robinson anak Yusuf. Emanuel Robinson anak Jamilah. Ingat tu sayang” mengalir air mata Puan Jamilah menahan kesedihan. Encik Yusuf hanya diam membatu tanda mengiyakan kata-kata Puan Jamilah.

“ Maafkan Emanuel ibu. Emanuel tidak bermaksud buat ibu sedih. Berdosanya Emanuel. Maafkan Emanuel ibu. Maafkan Emanuel.” Air mata lelaki Emanuel juga jatuh membasahi pipi. Dua beranak itu berdakapan penuh kasih sayang. Malam tenang yang menyaksikan kasih ibu dan anak bagai mengerti betapa eratnya kasih sayang mereka bertaut. 

Tidak mampu melelapkan mata, Puan Jamilah ligat berfikir. Puan Jamilah tahu apa yang Emanuel rasa. Puan Jamilah hanya tidak mahu memungkiri janjinya pada Rose Robinson, sahabat karib Puan Jamilah yang telah meninggal akibat dilanda demam malaria dua belas tahun yang lampau. Puan Jamilah mengimbau kenangan lalu.

“ Emanuel Robinson ini anak kamu Jamilah. Anak kamu. Aku beri padamu. Beritahu dia anak kamu andai suatu hari dia bertanya. Dia akan mengerti sendiri kebenarannya ” ayat terakhir dari Rose Robinson sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Puan Jamilah terlelap bersama kenangan dan air mata.

-tamat-


nukilan : IZZAH AZHAR

2 comments:

  1. yg ni cerpen.habes sini je.cerita lama tu penat nak habeskan.sob3

    ReplyDelete

sini2.komen kt sini.